Dalam
diri setiap anak Adam, ada Tuhan bekalkan berbagai-bagai jenis
perasaan. Perasaan-perasaan ini bersifat batiniah dan tempatnya di dalam
hati. Yakni di dalam roh. Salah satu daripada perasaan itu ialah rasa
kasih sayang.
Apakah definisi rasa kasih sayang? Rasa kasih sayang ialah cenderung dan tertariknya hati
seseorang
secara mendalam kepada seseorang yang lain. Atau kepada selain manusia
yakni benda-benda dan makhluk-makhluk lain. Atau hati manusia juga boleh
jatuh cinta kepada ALLAH tapi ini jarang berlaku.
Disini kita
hendak mengkhususkan tentang kasih sayang sesama manusia. Sebab ianya
utama dan penting pada manusia itu sendiri selain mereka mesti cintakan
ALLAH yang memang lebih utama dan agung.
Jadi fokus utama untuk
dihuraikan secara lebih luas ialah tentang cinta sesama manusia.
Berlakunya kasih sayang atau kecenderungan hati yang mendalam oleh
seseorang kepada seseorang yang lain ada sebab-sebabnya. Iaitu kerana
ada daya tarikan yang menyenangkan dan menenangkan hatinya. Daya tarikan
itu ada berbagai-bagai.
Ada yang bersifat semulajadi dan ada
yang bersifat `aradhi' (mendatang). Di antara perkara-perkara yang
menarik hati manusia kepada manusia lain ialah kecantikan, ilmu,
kepimpinan, jasa, hubungan darah, kekuatan, akhlak dan lain-lain. Kerana
faktor-faktor inilah manusia tertarik dengan manusia yang lain. Maka
tumbuhlah rasa kasih sayang sedikit demi sedikit hingga mendalam. Bila
rasa itu kian mendalam, ia disebut cinta. Bila cinta sudah mendalam,
seseorang itu akan jadi asyik mahsyuk atau mabuk cinta. Ada orang,
kerana tidak boleh lagi kontrol cintanya, terus menjadi gila.
Dengan
perasaan kasih sayang, seseorang akan menumpukan perhatian, perasaan
dan jiwa raganya kepada orang yang disayanginya. Bermacam-macam
pengorbanan akan dibuat terhadap kecintaannya. Tidak ada rasa susah
padanya dalam usaha-usaha dan pengorbanan itu, walaupun orang lain
melihatnya susah sekali dan keterlaluan. Seorang wanita sanggup lari
meninggalkan keluarga demi cinta kepada lelaki calon suaminya. Dia rela
menghadapi risiko dihina dan dibenci oleh keluarga dan masyarakat.
Sebagaimana sebab-sebab tumbuhnya kasih sayang itupun berbagai-bagai maka sifat dan
kesan
kasih itu juga berbeza-beza. Bergantunglah kepada siapa dan mengapa
kasih itu tumbuh. Kasih kepada ibu bapa tidak sama dengan kasih pada
isteri-isteri. Kasih kepada anak-anak tidak sama dengan kasih pada
kawan. Kasih pada guru tidak sama dengan kasih pada saudara-mara. Kasih
ada pemimpin tidak sama dengan kasih pada pengikut. Kasih pada bangsa
tidak sama dengan kasih pada harta. Kasih pada agama tidak sama dengan
kasih kepada bangsa. Maha Suci ALLAH yang menciptakan dalam ruang
seketul hati yang sempit itu rasa kasih yang berbagai sifat dan rupanya!
Akibat
berbeza sifat dan rupanya, maka berbeza pula kesan dan akibat kasih
itu. Ada kasih sayang yang kekal dan bertambah di dalam hati. Ia tidak
diganggu atau dicacatkan oleh rasa jemu dan hambar kecuali dengan
sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Namun ada kasih sayang yang
dirosakkan oleh rasa jemu dan benci. Maka ia tidak kekal bahkan
berkurang dan mungkin hilang. Kasih pada pemimpin membuatkan seseorang
pengikut menyerahkan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bagi.
Kasih pada pengikut membuatkan seseorang pemimpin berkorban memberi
khidmat dan kasih sayang tanpa sebarang kepentingan dan rasa letih
serta
jemu. Kasih kepada isteri membuatkan suami bersifat bertanggungjawab.
Manakala kasih pada suami menjadikan isteri sedia taat, patuh dan
melayan suami sesungguh hati. Kasih pada guru membuatkan murid gigih
belajar dan mengamalkan ajarannya. Manakala kasih pada murid menjadikan
guru-guru hilang letih untuk mendidik dan mengajar hingga muridnya
berjaya. Kasih pada ibu bapa membuatkan anak-anak sangat menjaga hati
orang tuanya. Manakala kasih kepada anak-anak menjadikan ibu bapa rela
berbuat apa saja untuk anak-anaknya.
Demikianlah kesan adanya
kasih sayang. Ia membuatkan manusia seperti terikat satu sama lain. Lalu
akan saling memberi dan menerima secara suka dan rela. Orang yang
saling menyayangi rasa bersalah kalau tidak dapat memberi kasih sayang
walau dalam apa bentuk sekalipun. Berkorban dan bersusah-susah untuk
yang disayangi adalah kebahagiaan, kepuasan dan hiburan.
Sedangkan
tanpa kasih sayang, pengorbanan dibuat secara terpaksa, menjadikan ia
amat berat dan menyeksakan manusia. Seorang murid yang buat kerja guru
dengan rasa cinta pada guru, akan membuatnya dengan sepenuh hati,
ghairah dan bahagia. Dia tidak jemu dan tidak letih. Dia akan berbuat
lebih dari yang diperintahkan. Sebaliknya murid yang buat kerja guru
dalam keadaan terpaksa, sedangkan dia benci pada guru itu, akan rasa
berat dan jemu. Al hasil, kerjanya jadi tidak sempurna.
Demikianlah
juga keadaan rakyat terhadap pemerintah, pengikut terhadap pemimpin dan
sebaliknya. Begitu jugalah isteri terhadap suami, anak-anak terhadap
ibu bapa dan manusia terhadap manusia lainnya.
Sejarah telah
membuktikan kepada kita bahawa cinta dan kasih para Sahabat yang sungguh
mendalam terhadap Rasulullah SAW dan sebaliknya, telah membuatkan
mereka berjuang dan berkorban habis-habisan. Hingga nyawa pun sanggup
dikorbankan demi cinta. Dan hasil dalam tempoh yang sekejap sahaja,
Islam telah membentuk negara dan empayar kepada tiga perempat dunia.
Demikian
bukti bahawa dengan cinta, manusia rela mengorbankan lebih masa dan
tenaga hingga memperolehi hasil yang luar biasa. Sedangkan tanpa cinta,
sesuatu kerja itu dibuat dengan sambil lewa dan hasilnya mengecewakan!
Sebab itu kita mesti pandai mengisi ruangan daripada rasa kasih sayang
dan cinta ini. Ia sangat besar manfaatnya kepada kehidupan manusia. Kita
patut usahakan agar tumbuh kasih sayang sesama manusia supaya buahnya
yang
lebat lagi manis itu dapat kita kecapi bersama.
Tapi
sayang sekali hari ini, dunia sudah ketandusan kasih sayang. Orang
miskin tidak sayang pada orang kaya, rakyat tidak sayang pada raja atau
ketua negaranya, masyarakat tidak sayang pada ulama, bahkan anak-anak
tidak sayangkan ibu bapa dan isteri tidak menyayangi suami.
Benci-membenci jadi budaya tradisi yang membuatkan manusia terhina
dengan segala
bentuk krisis dan masalah sesamanya. Kakitangan pejabat
mencaci-caci boss mereka di belakangnya. Orang politik dimaki hamun
oleh pengundinya, ulama dihina-hina oleh masyarakat, menteri-menteri
dimusuhi oleh berbagai lapisan masyarakat dan jadi bahan bualan yang
negatif.
Demikian seterusnya yang berlaku dalam realiti hidup
hari ini akibat tidak adanya sifat-sifat yang cantik untuk membuat
manusia saling jatuh hati dan sayang-menyayangi. Mana kasih sayang
pengikat
perpaduan manusia? Mana keharmonian hidup, ketenangan serta kepuasan?
Kita rindu untuk melihat orang kaya mengasihi orang miskin dan si miskin
membalas kasih si kaya. Hinggakan mereka bekerjasama dengan penuh
harmoni dan mesra.
Kita juga rindukan pemimpin yang memberi kasih
kepada pengikut dan sebaliknya. Dan kita ingin melihat orang bukan
Islam kasih pada orang Islam dan sebaliknya! Ya, kita ingin melihat
dunia kembali damai, aman, harmoni dan makmur dengan wujudnya kasih
sayang sesama manusia. Untuk itu mari kita cetuskan sebab-sebab untuk
orang lain, sekalipun bukan sebangsa dan seagama apa lagi kalau
sekeluarga dan seagama, agar cenderung dan jatuh hati pada kita. Bila
masing-masing mengusahakannya, maka kita pun menyayangi dan disayangi.
Dari
sana, moga-moga impian dan kerinduan kita menjadi kenyataan! Kesilapan
manusia hari ini, di samping membiarkan rasa benci-membenci terus subur,
tidak pula mengusahakan untuk sayang-menyayangi. Sebaliknya lebih
mengalih perhatian kepada benda dan makhluk-makhluk yang lain.
Melupakan
tanggungjawab untuk membina kasih sayang sesama manusia. Kemudian
mencari jalan lain untuk menjauhkan lagi dan tanggungjawab tersebut.
laitu mengalih perhatian dan kasih sayang kepada benda-benda,
pokok-pokok, binatang, barang-barang antik dan sebagainya.
Benda-benda
kecintaan ditatang-tatang, dibelek-belek dan dijaga sungguh-sungguh.
Binatang kesayangan dibelai-belai, dilayan dan dikawal hingga dibuat
undang-undang, sesiapa yang membunuh binatang didenda. Barang-barang
antik dipuja-puja dan dijaga di muzium-muzium dan lain-lain dengan
istimewa sekali. Begitu juga pokok-pokok dan bunga hiasan, begitu
disayangi dan dari semasa ke semasa rasa sayang itu disuburkan! Memang
tidak ada salahnya perkara-perkara itu.
Tapi apalah ertinya kera
di hutan disusukan, anak di rumah dibiarkan. Maksudnya, tanggungjawab
yang asasi dan penting diabaikan, sebaliknya dibuat kerja-kerja yang
tidak penting. Ibarat orang menghidangkan kita berbagai macam laukpauk,
tetapi tidak disertakan nasi. Apa perasaan kita? Apa ertinya pokok di
hutan tidak dipotong tetapi badan manusia dipotong dan dibunuh?
Pokok-pokok, benda-benda, barang antik dan binatang kalau tidak
disayangi dan tidak diberi perhatian, tidak memberi kesan negatif pada
kita. Tetapi anak-anak yang tidak dapat kasih sayang akan jadi penyakit
masyarakat.Orang miskin yang terbiar tanpa diberi simpati akan buat
masalah
dalam masyarakat. Orang yang bukan seagama dan sebangsa yang tidak
mendapat perhatian dan kasih sayang akan mencari pasal untuk membalas
dendam dan geram.
Demikian kalau manusia tidak berkasih sayang,
kesannya sungguh negatif dan bahaya sekali. Dunia hari ini begitu
ketandusan kasih sayang. Keadaannya genting sekali. Manusia saling
benci-membenci iaitu kebalikan dari berkasih sayang. Akibatnya
masing-masing saling mencari jalan untuk menyusahkan orang lain.
Masing-masing saling berprasangka dan saling mencurigai. Paling tidak,
saling tidak mempedulikan dan tidak ambil tahu. Usaha-usaha untuk
mengatasinya hampir-hampir tidak ada sama sekali. Kalaupun ada, tidak
berkesan. Kerana caranya tidak tepat dan tidak membawa kesan yang
berkekalan.
Sumber : http://qurrataaini.multiply.com/reviews/item/87?&show_interstitial=1&u=%2Freviews%2Fitem
ARTI KASIH SAYANG SESAMA MANUSIA
00.26 |
Langganan:
Posting Komentar (Atom)






0 komentar:
Posting Komentar